Penyedia penyelesaian teknologi yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE, Insights Analytics Berhad (Insights Analytics), hari ini menendatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Sarawak Artificial Intelligence Centre Sdn Bhd (SAIC) bagi menjalinkan kerjasama dalam pembangunan serta pelaksanaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan digital twin di pelbagai sektor ekonomi utama.
Menerusi MoU berkenaan, kedua-dua pihak akan bekerjasama membangunkan platform AI berdaulat serta penyelesaian analitik lanjutan bagi sektor tenaga, air, pembinaan, pengangkutan dan pertanian, selaras dengan aspirasi Sarawak untuk membentuk ekonomi pintar, rendah karbon dan berasaskan data.
Kerjasama ini turut merangkumi pelaksanaan projek perintis, tapak demonstrasi dan program latihan bagi memperkukuh penggunaan AI, sekali gus mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai hab inovasi digital serantau.
SAIC, yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak, akan menyediakan kemudahan penyelidikan, infrastruktur dan sokongan institusi bagi inisiatif tersebut, di samping menyelaras penglibatan dengan agensi kerajaan, institusi akademik dan pemain industri untuk memastikan keselarasan dasar dan peraturan.
Sementara itu, Insights Analytics akan menyumbang kepakaran teknikal, platform AI proprietari serta keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D), selain menerajui strategi pengkomersialan bagi memperluas pelaksanaan penyelesaian AI dan digital twin di pasaran tempatan dan antarabangsa.
Pengarah Urusan Insights Analytics, Ts. Frank Wee, berkata kerjasama ini mengukuhkan komitmen syarikat untuk memperkasa pembangunan penyelesaian teknologi tempatan yang menyokong Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak (PCDS) 2030.
“Kerjasama ini menandakan satu pencapaian penting dalam usaha kami membangunkan keupayaan AI berdaulat untuk Sarawak. Dengan menggabungkan inovasi teknologi kami dan kekuatan institusi SAIC, kami berhasrat mempercepatkan penggunaan teknologi AI dan digital twin yang mampu meningkatkan kecekapan, kelestarian dan membuat keputusan yang lebih pintar merentas industri,” katanya.
