AirAsia lancar dua laluan baharu ke Pontianak, perkukuh kehadiran di Kalimantan

AirAsia (AK) pada Jumaat (12 September) melancarkan dua laluan terus baharu menghubungkan Pontianak, Kalimantan Barat dengan Kuala Lumpur dan Kuching, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai syarikat penerbangan dengan rangkaian terluas antara Malaysia dan Indonesia.

Penerbangan sulung dari Kuching ke Pontianak (AK1781) diraikan menerusi majlis pelepasan oleh Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin bersama Pemangku Konsul Jeneral Indonesia di Kuching, Musa Derek Sairwona, selain delegasi rasmi ke ibu kota Kalimantan Barat.

Sementara itu, penerbangan AK1782 dari Pontianak mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching disambut Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Malaysia, Datuk Kapten Fareh Mazputra; CEO Lembaga Pelancongan Sarawak, Sharzede Salleh Askor serta wakil agensi kerajaan dan sektor swasta.

Di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2), ketibaan penerbangan pertama AK491 dari Pontianak turut diraikan Tourism Malaysia bersama pengurusan AirAsia.

Pelancaran laluan ini menandakan penerbangan antarabangsa pertama di Lapangan Terbang Supadio, Pontianak selepas status antarabangsanya dibuka semula pada Jun lalu. Majlis sambutan khas turut dianjurkan pihak berkuasa Angkasa Pura Indonesia dan Dinas Perhubungan Kalimantan Barat dengan kehadiran Gabenor Kalimantan Barat, Ria Norsan serta Konsul Malaysia di Pontianak, Azizul Zekri Abdul Rahim.

Lee berkata, pengoperasian semula laluan Kuching–Pontianak selepas lima tahun adalah pencapaian penting kerana tempoh perjalanan antara dua bandar kini kurang sejam berbanding enam hingga lapan jam melalui darat.

“Kesalinghubungan ini bukan sahaja mempercepatkan perjalanan, malah mengukuhkan hubungan sejarah, budaya dan kekeluargaan antara rakyat, sekali gus merancakkan sektor pelancongan dan perniagaan,” katanya.

Snowdan pula berkata laluan baharu itu akan membantu Sarawak mencapai sasaran lima juta pelancong tahun ini dengan pendapatan melebihi RM1 bilion sebulan.

“Kesalinghubungan udara ini memberi nilai tambah besar kepada sektor pelancongan dan seiring dengan visi menjadikan Sarawak sebagai hab serantau industri kreatif serta seni persembahan,” katanya.

Fareh menegaskan Indonesia kekal sebagai pasaran utama AirAsia selepas kejayaan membuka laluan baharu ke Palembang baru-baru ini.

“Pontianak kini kembali disambungkan dengan Kuala Lumpur dan Kuching, bukan sahaja memberi kemudahan kepada tetamu, malah membuka peluang perniagaan dan pelancongan baharu antara kedua-dua negara,” katanya.

Sharzede pula menyifatkan laluan itu penting kerana Pontianak sentiasa menjadi pasaran utama ke Sarawak.

“Kesalinghubungan ini akan memudahkan perjalanan untuk tujuan pelancongan, perubatan, pendidikan dan perniagaan, sekali gus mengetengahkan keunikan budaya, alam semula jadi dan pengalaman pengembaraan Sarawak,” katanya.

AirAsia kini menawarkan penerbangan ke 18 destinasi di Indonesia termasuk Jakarta, Bali, Medan, Yogyakarta, Pekanbaru, Lombok, Palembang, Pontianak serta Banjarmasin bermula 20 Oktober depan, dengan laluan baharu dari Kuching dan Pulau Pinang memperkukuh lagi akses perjalanan antara Malaysia dan Indonesia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *