AirBorneo dijangka mula beroperasi Januari 2026

Gambar fail UKAS: Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (tengah) semasa pelancaran logo AirBorneo pada 21 Ogos 2025

AirBorneo dijadual memulakan operasi pada Januari 2026 sebaik sahaja proses pengambilalihan MASwings Sdn Bhd selesai hujung tahun 2025.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pengambilalihan MASwings dijangka selesai sepenuhnya pada 31 Disember 2025, susulan Perjanjian Pembelian Saham yang ditandatangani pada 12 Februari 2025.

Menurutnya, perkembangan itu menandakan fasa penting dalam penubuhan syarikat penerbangan milik Sarawak tersebut selepas pelancaran logo “Wings of Unity” dengan tagline “Borneo for You” oleh Premier Sarawak pada 21 Ogos lalu.

“Dengan selesainya proses peralihan ini, AirBorneo dijangka memulakan operasi bebas pada Januari 2026 dengan melaksanakan perkhidmatan Rural Air Services (RAS) di Sarawak, Sabah dan Labuan,” katanya ketika menggulung perbahasan Kementerian Pengangkutan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Selasa (2 Disember 2025)

Dato Sri Lee Kim Shin berkata, AirBorneo juga merancang meluaskan perkhidmatan kepada operasi jet serantau menjelang akhir 2026, tertakluk kepada ketersediaan pesawat, kelulusan slot lapangan terbang serta kelulusan pengawalseliaan.

Beliau menegaskan penubuhan AirBorneo bukan sahaja mencerminkan identiti Sarawak, malah selaras dengan aspirasi kerajaan Sarawak untuk memperkukuh rangkaian mobiliti dan kesalinghubungan di seluruh Borneo.