Aktiviti perlombongan kripto dikaitkan dengan kes curi elektrik di premis perindustrian di Sibu

Kabel sambungan terus pada papan meter di dalam premis. Gambar Sarawak Energy

Sarawak Energy menerusi cabang operasi dan runcitnya, Syarikat SESCO Berhad (SESCO), terus giat membanteras kegiatan mencuri elektrik, dengan satu kes terbaharu dikesan di sebuah premis industri ringan di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, Sibu.

Menurut Sarawak Energy dalam kenyatan pada Jumaat (17 Okt), hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan tidak mempunyai meter elektrik, dan pengusahanya disyaki menyambung bekalan elektrik secara haram bagi menggerakkan pelayan (server) perlombongan mata wang kripto.

Pemeriksaan di lokasi turut menemui pendawaian yang berselirat dan tidak selamat, sekali gus menimbulkan risiko keselamatan serius.

Dalam operasi tersebut, pasukan pemeriksa menemui kabel sambungan terus yang menyalurkan elektrik kepada 30 pelayan perlombongan, dengan anggaran kerugian melebihi RM13,000 sebulan.

Pelayan perlombongan mata wang kripto ditemui pada rak pelayan – sebanyak 30 unit keseluruhannya.

Semua peralatan yang terlibat telah disita dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 33(5) Ordinan Elektrik. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM200,000 dan/atau penjara sehingga lima tahun.

Kegiatan mencuri elektrik oleh pengusaha perlombongan kripto kini menjadi isu yang membimbangkan berikutan penggunaan tenaga yang tinggi, menyebabkan sesetengah pengusaha mengambil jalan pintas melalui sambungan tidak sah bagi menjimatkan kos.

Tindakan ini boleh menyebabkan kebakaran, kerosakan peralatan elektrik, gangguan bekalan, serta mengancam nyawa.

Sarawak Energy mengecam keras perbuatan mencuri elektrik dan terus bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan serta Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) untuk mengambil tindakan tegas terhadap pelaku.

Usaha meningkatkan kesedaran awam mengenai bahaya dan akibat perbuatan mencuri elektrik juga giat dijalankan.

Orang ramai digalakkan menyalurkan maklumat mengenai aktiviti mencurigakan kepada Pusat Khidmat Pelanggan Sarawak Energy di talian 1300-88-3111 atau melalui emel customercare@sarawakenergy.com. Semua laporan akan dirahsiakan sepenuhnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *