Sensasi tarian Jepun yang tular di peringkat antarabangsa, Avantgardey, bakal mencipta sejarah apabila membuat penampilan pertama mereka di Borneo menerusi The ACG Concert 2026, yang dijadual berlangsung pada 31 Januari ini di Stadium Perpaduan Negeri Sarawak, Kuching.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata kehadiran kumpulan berkenaan adalah hasil hubungan budaya serta jaringan kepercayaan yang berjaya dibina Sarawak dengan rakan seni di Jepun.
“Melalui rangkaian dan kredibiliti yang telah kita bina di Jepun, hari ini saya berbangga untuk mengumumkan bahawa sensasi tarian tular Avantgardey akan tampil di The ACG Concert bagi persembahan pertama mereka di Borneo,” katanya pada sidang media pada Rabu (7 Jan).
Beliau berkata, penyertaan kumpulan bertaraf global itu dalam produksi orkestra tempatan membuktikan keupayaan industri kreatif Sarawak untuk menganjurkan persembahan berskala antarabangsa.
Menurutnya, penggabungan elemen orkestra dengan budaya pop moden turut mencerminkan perkembangan Kuching sebagai sebuah bandar seni yang dinamik dan terbuka kepada kolaborasi global.
“Integrasi artis global dalam produksi orkestra tempatan membuktikan bahawa visi seni Sarawak kini melangkaui sempadan, selain mencerminkan evolusi Kuching sebagai hab seni moden yang mempertemukan dunia dengan jiwa Sarawak,” katanya.
The ACG Concert 2026 dianjurkan oleh The Band Lab dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, dan turut menampilkan kolaborasi pemuzik tempatan serta antarabangsa sebagai kesinambungan hubungan budaya Sarawak–Jepun.
Konsert ini menampilkan gabungan orkestra 60 pemuzik, koir 50 penyanyi, penari, vokalis serta persembahan piroteknik yang menggabungkan seni muzik klasik dan budaya pop moden.
Penonton bakal dihidangkan dengan alunan muzik simfoni daripada karya ikonik dunia anime seperti Naruto, Demon Slayer, Studio Ghibli, Kimi No Nawa dan Suzume, selain pengalaman budaya imersif menerusi penglibatan komuniti cosplay.
