Selepas 12 tahun menyepi, Borneo Games kembali dianjurkan dengan edisi 2025 membuka tirai rasmi di Stadium Perpaduan, Kompleks Sukan Petra Jaya, Kuching hari ini (Rabu).
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, yang menyifatkan penganjuran semula temasya itu sebagai usaha mengembalikan legasi sukan bersejarah Borneo.
Menurut beliau, Borneo Games yang bermula pada 1954 di Brunei pernah menjadi gelanggang menyatukan atlet Sarawak, Sabah dan Brunei, sebelum terhenti selepas 1970. Ia kembali dianjurkan pada 2005 hingga 2013, namun terhenti sekali lagi selepas penganjuran terakhir di Labuan.
“Hari ini, selepas 12 tahun menyepi, kita menghidupkan semula legasi ini di bumi Kuching. Aspirasi ini lahir daripada hasrat Premier Sarawak untuk memupuk kebersamaan, memperkukuh perpaduan serantau dan memberi ruang atlet muda terus bersaing selepas SUKMA 2024,” katanya.

Beliau menegaskan Borneo Games bukan sekadar medan persaingan tetapi wadah diplomasi sukan, perkongsian budaya dan jalinan persahabatan merentasi sempadan. Malah, ia sejajar aspirasi Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030 untuk menjadikan Sarawak sebagai Hab Sukan Serantau menjelang 2030.
Temasya yang berlangsung dari 24 hingga 28 September itu menampilkan lima acara sukan teras – olahraga, akuatik renang, badminton, lawn bowls dan memanah – selain dua sukan tradisional warisan Borneo iaitu menyumpit dan tarik tali, serta acara khas golf VIP.
Sebanyak 124 pingat emas, perak dan gangsa bakal direbut sepanjang lima hari penganjuran yang dijangka merancakkan lagi sektor pelancongan sukan di Sarawak.
Temasya sukan itu disertai kontinjen dari Sarawak, Brunei, Sabah, Labuan dan Kalimantan Timur.
“Kehadiran atlet, pegawai, penyokong dan pelancong dari luar negeri bukan sahaja memperkukuh imej Sarawak di persada serantau, malah memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat tempatan,” katanya.
Beliau turut menegaskan penyertaan sukan tradisional melambangkan identiti, kekuatan dan warisan budaya masyarakat Borneo yang perlu terus dipertahankan agar diwarisi generasi akan datang.
Beliau berharap Borneo Games 2025 menjadi medan melahirkan atlet muda berbakat, selain mengukuhkan hubungan persaudaraan serumpun.
“Saya menyeru semua pihak berganding bahu menjayakan temasya ini. Semoga ia dikenang sebagai titik tolak masa depan sukan lebih gemilang, sekali gus mengangkat Sarawak sebagai hab sukan serantau bertaraf dunia,” ujarnya.