Wakil Khas Premier Sarawak di Gedong, Dato Sri Mohd Naroden Majais pada Rabu (17 Sept) menyantuni bapa kepada Ahmad Alzadkhri Sudin, 32, yang hilang selepas disambar buaya di Sungai Lubok Punggor, dengan menziarahi keluarga mangsa di kediaman mereka di Kampung Lubok Punggor, Simunjan.
Beliau menzahirkan simpati atas musibah yang menimpa keluarga Haji Sudin Chi.

Dato Sri Naroden juga meninjau operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang kini memasuki hari ketiga.
Beliau menaiki bot bomba menyusuri sungai berkenaan selain mendengar taklimat daripada pasukan penyelamat berhubung perkembangan terkini operasi yang disertai pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), SFC serta penduduk kampung.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan, TPgB II Christian Olas berkata, pencarian diteruskan dengan kaedah permukaan air sejauh dua kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Operasi bermula jam 8.10 pagi menggunakan bot penyelamat, namun sehingga jam 5 petang mangsa masih belum dijumpai. Operasi ditangguhkan dan akan bersambung esok,” jelasnya.
Insiden berlaku kira-kira jam 4 petang Isnin lalu ketika mangsa keluar menjala udang bersama bapanya sebelum disambar buaya.
Setakat ini, operasi melibatkan lima anggota bomba bersama sebuah jentera Hilux dan sebuah bot penyelamat, enam anggota polis, lapan anggota APM, dua pegawai SFC serta 20 penduduk kampung.