G-PDRM Cycling Team Rangkul Kejuaraan DBKU Road Race 3.0

Kredit gambar: FB DBKU

G-PDRM Cycling Team menguasai perlumbaan apabila dinobatkan juara kategori berpasukan pada edisi ketiga DBKU Road Race yang berlangsung di Kuching pada hari ini (7 Sept. 2025).

Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) melaporkan, kemenangan itu membolehkan pasukan tersebut membawa pulang gelaran Team Champion selepas merekodkan masa keseluruhan 08:41:55, sekali gus meraih hadiah wang tunai RM3,000.

Saingan rapat diberikan oleh Tugau Vaie Elite Team yang menamatkan perlumbaan dengan masa 08:46:11 untuk menduduki tempat kedua serta mengutip RM2,000, manakala Ghost Speed Racing Team A di kedudukan ketiga dengan catatan 08:56:29 dan hadiah RM1,500.

Dalam jarak kayuhan sejauh 126 kilometer itu, pelumba G-PDRM, Muhammad Ameer Ahmad Kamal, turut mencuri tumpuan apabila muncul juara keseluruhan Best Individual dengan masa 02:52:50, di samping mengungguli gelaran ‘King of Mountain’.

Tempat kedua kategori individu dimenangi Mohd Nor Umardi Rosdi, manakala Muhammad Ameen Ahmad Kamal menamatkan saingan di tangga ketiga.

Sementara itu, Azrul Aiman Abu Seli menobatkan diri sebagai ‘Junior Champion’ dengan catatan 02:54:47, dan Laurel Lauridsen Adrian pula meraih gelaran ‘King of Sprint’.

Keseluruhan penganjuran yang menawarkan hadiah berjumlah RM15,650 bukan sahaja memperlihatkan dominasi pasukan berpengalaman, malah turut membuka ruang kepada bakat baharu untuk menyerlah serta mengukuhkan kedudukan Kuching sebagai destinasi perlumbaan berbasikal berprestij di rantau ini.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *