“Memang besar…dua kali ganda besar badan manusia (saiz buaya),” demikian cerita seorang rakan mangsa yang disambar buaya di Batang Paloh dekat Daro.
Andy Kuan, 23, berkongsi detik rakannya, Agustine Fernando AK Nyalong, 14, ketika dibaham buaya yang menjala udang di sungai tersebut pada Jumaat (26 Dis).
Menurut Edikuan, 23, mangsa tidak sempat menjerit meminta tolong kerana kejadian petang itu berlaku begitu pantas.
“Dia (mangsa) duduk dalam air sambil tengok orang (rakan-rakan lain) menjala.
“Dalam sekitar jam 2 lebih macam tu…dia sudah kena sambar buaya,” katanya kepada Sarawak Edition yang pergi ke Rh Jingga di Kelai, Pulau Bruit, Daro.
Dia berkata, mangsa dibaham di bahagian dada dan rusuk.
“Ia sambar terus seret mangsa ke dalam sungai,” katanya menceritakan kejadian yang berlaku begitu pantas.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Sarawak, setakat petang Sabtu, mangsa masih gagal ditemui.
Operasi disambung semula pada Ahad (28 Dis).