Dua kanak-kanak perempuan dilapor hilang di Kampung Pasir Pandak

Dua kanak-kanak perempuan masing-masing berusia lima tahun dilaporkan hilang di Kampung Pasir Pandak, Kuching, selepas tidak pulang ke rumah sejak pagi Sabtu (6 Dis).

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, kanak-kanak tersebut ialah Humaira Qalesya Mohd Dir dan NurAshafieyah Aisyah Abdul Nasri Asrafie.

“Humaira dilaporkan memakai baju labuh hoody putih dan selipar ungu, manakala NurAshafieyah memakai T-shirt belang hitam putih, seluar jean biru dan selipar hijau.

“Mereka kali terakhir dilihat sekitar jam 9 pagi ketika keluar menuju ke rumah nenek yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah untuk bermain bersama sepupu,” kata jurucakap itu dalam kenyataan.

Pada jam 11 pagi, bapa salah seorang daripada mereka menyedari kedua-duanya tidak berada di lokasi permainan, sebelum keluarga menjalankan pencarian awal di sekitar kampung namun tidak berhasil.

Usaha pencarian kemudian diperluaskan penduduk kampung bermula jam 4 petang tetapi tiada sebarang petunjuk ditemui.

Laporan polis dibuat pada jam 6 petang bagi mendapatkan bantuan agensi penyelamat, sekali gus memulakan operasi pencarian rasmi.

Operasi diketuai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dengan sembilan anggota bersama sebuah jentera FRT dan sebuah kenderaan utiliti.

Turut terlibat ialah PDRM, Unit K9 serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Setakat ini tiada petunjuk baharu ditemui dan operasi pencarian di sekitar kawasan pesisir berhampiran kediaman kanak-kanak itu ditangguhkan pada jam 11.40 malam (Sabtu)

Usaha mencari disambung semula pada hari Ahad.