Dua nelayan hilang selepas vesel terbalik akibat laut bergelora di Bintulu

Dua nelayan dilaporkan hilang selepas vesel yang dinaiki mereka terbalik akibat laut bergelora dan angin kencang kira-kira tiga batu nautika barat laut Tanjung Payung, Bintulu pada petang Rabu (5 Nov).

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, kejadian itu dimaklumkan kepada Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kuching selepas pihaknya menerima laporan daripada nakhoda kapal tunda TB. SWEE sekitar pukul 6.15 petang, yang memaklumkan telah menyelamatkan empat mangsa vesel karam di lokasi kejadian.

“Salah seorang mangsa yang terselamat, Nasri Harun memberitahu vesel nelayan kelas C yang mereka naiki karam akibat keadaan laut bergelora, dan dua lagi rakan mereka masih belum ditemui,” katanya dalam kenyataan pada Khamis (6 Nov).

Berikutan itu, MRSC Kuching segera mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) dan bot ronda Maritim Malaysia digerakkan ke kawasan kejadian bagi menjalankan operasi pencarian.

Maritim Malaysia turut menasihatkan semua komuniti maritim agar tidak keluar ke laut ketika cuaca buruk, serta sentiasa mematuhi prosedur keselamatan dan undangundang pelayaran bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Sebarang maklumat atau insiden kecemasan di laut boleh dilaporkan ke talian kecemasan 999, Pusat Operasi Zon Maritim Bintulu di talian 086-314 254 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432 544 untuk tindakan segera.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *