Empat ditahan, dadah dianggarkan bernilai RM41,017 dirampas di Kuching

Ryan

Polis merampas methamphetamine bernilai RM41,017.80 dalam dua serbuan berasingan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak pada 18 dan 19 November 2025.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, dalam serbuan pertama di tepi Jalan Borneo pada 10.45 malam, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun dan seorang wanita berusia 26 tahun, sebelum menemukan dua paket methamphetamine seberat 5.54 gram dan 1.48 gram bernilai RM772.

“Saringan awal air kencing kedua-dua suspek didapati positif amphetamine dan methamphetamine, selain masing-masing mempunyai satu rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat (21 Nov 2025).

Kedua-duanya direman dua hari bagi siasatan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, serbuan kedua dilakukan pada 19 Nov di Jalan Tun Jugah pada 4.15 petang, membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan berusia 33 dan 41 tahun.

Pemeriksaan menemukan satu bungkusan berisi 1,059.10 gram methamphetamine bernilai RM40,245.80.

Menurutnya, ujian air kencing mendapati suspek pertama negatif, manakala suspek kedua positif amphetamine dan methamphetamine, dengan rekod jenayah lampau sebanyak empat kes.

Kedua-duanya direman tujuh hari mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kejayaan ini adalah hasil risikan berterusan dan kerjasama orang awam. Polis Diraja Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah.

“Memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti dadah merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang,” katanya.

“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik komited memerangi dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang. Dadah adalah musuh nombor satu negara,” katanya.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat melalui Hotline JSJN di 012-208 7222 atau Hotline JSJN IPK Sarawak di 017-592 9211.