Empat lelaki tempatan ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kegiatan perjudian jenis Hoo Hey How (Holo) di bawah sebuah rumah sarang burung di Kampung Tellian Tengah, Mukah pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata tangkapan itu hasil serbuan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah kira-kira jam 6.15 petang menerusi Op Dadu.
“Semasa serbuan Op Dadu itu dijalankan, terdapat empat orang lelaki sedang leka bermain judi jenis Hoo Hey How (Holo). Pasukan itu telah menahan keempat-empat suspek yang merupakan warga tempatan berumur antara 36 hingga 66 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM260 dan sehelai kain tertera gambar ikan, udang, ketam, ayam, harimau dan labu yang digunakan untuk pertaruhan.
“Turut dirampas enam biji dadu, dua kong holo, empat kerusi serta satu meja yang dijadikan barang kes,” jelasnya.
Siasatan mendapati seorang suspek berumur 66 tahun mempunyai dua rekod lampau berkaitan jenayah, manakala tiga lagi tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
“Tiga suspek direman sehari hingga 31 Oktober 2025 di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah, manakala seorang lagi dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah dan dadah agar menghubungi Hotline IPD Mukah di talian 084-871222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
