Kefasihan seorang lelaki berbahasa Iban mencuri perhatian Dato Sri Alexander Nanta Linggi ketika lawatan beliau di Kapit, baru-baru ini.
Pada awalnya, Menteri Kerja Raya itu menyangka lelaki berkenaan, Azizuddin Mohd Shamsuddin, merupakan anak jati Kapit berdasarkan penguasaannya yang begitu lancar terhadap bahasa Iban.
Namun, sangkaan itu meleset apabila diketahui Azizuddin sebenarnya berasal dari Ipoh, Perak.
Menurut Ahli Parlimen Kapit itu di Facebook, Azizuddin telah menetap di Kapit selama 18 tahun selepas berkahwin dengan pasangannya yang berasal dari daerah tersebut, malah kini tinggal di Rumah Panjang Kayan Nanga Dia.
“Memang fasih beliau berbahasa Iban,” katanya, sambil menyifatkan penguasaan bahasa itu sebagai sesuatu yang mengagumkan.
Menariknya, kampung asal Azizuddin di Perak turut sama dengan kampung asal Setiausaha Akhbar (SUA) beliau, sekali gus mencetuskan suasana mesra apabila mereka dipanggil bersama Setiausaha Politik beliau, Ambrose Abong Bugek, untuk bergambar kenangan.
Cubaan SUA berkenaan untuk berbual dalam loghat Perak bagaimanapun mencuit hati apabila bunyi bahasa yang dituturkan Azizuddin sudah bercampur dengan bahasa Iban, hasil pergaulan dan kehidupan yang lama di Kapit.
Bagi Nanta, kisah ringkas itu mencerminkan keindahan Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian budaya, etnik dan bahasa.
“Itulah keunikan dan kecantikan Malaysia. Perbezaan bukan pemisah, sebaliknya sesuatu yang wajar diraikan,” katanya.
