Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak ingatkan bahaya rabies, seru tindakan segera jika digigit anjing dan kucing

Gambar hiasan

JABATAN Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak mengingatkan orang ramai bahawa virus rabies boleh menular melalui gigitan, cakaran, atau pendedahan kepada air liur haiwan mamalia yang dijangkiti rabies, terutamanya anjing dan kucing.

Sekiranya digigit atau dicakar haiwan, luka mestilah segera dicuci dengan air mengalir dan sabun selama sekurang-kurangnya 15 minit, diikuti dengan rawatan segera di fasiliti kesihatan kerajaan atau swasta berhampiran.

“Orang ramai juga diingatkan agar tidak memberi makanan kepada haiwan terbiar yang tidak diketahui status vaksinasinya.

“Selain itu, elakkan daripada mengendalikan bangkai haiwan terbiar atau peliharaan sendiri yang mati dengan punca kematian tidak diketahui.

“Laporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk tindakan lanjut,” demikian menurut JKN Sarawak dalam kenyataan pada Sabtu (21 Mac 2026).

JKN Sarawak turut menasihatkan agar pemilik haiwan bertanggungjawab dengan memastikan semua anjing dan kucing peliharaan diberi vaksinasi antirabies lengkap setiap tahun dan tidak membiarkan haiwan peliharaan berkeliaran tanpa pengawasan.

Selain itu, bersempena musim perayaan yang bakal tiba, orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati ketika melakukan aktiviti ziarah-menziarahi atau berada di kawasan yang mempunyai haiwan peliharaan atau haiwan terbiar.

Kanak-kanak khususnya perlu sentiasa dipantau dan dinasihatkan agar tidak mendekati, bermain atau mengganggu anjing dan kucing liar bagi mengelakkan risiko gigitan atau cakaran.

Sekiranya berlaku sebarang kejadian gigitan atau cakaran haiwan, tindakan mencuci luka dengan segera dan mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat hendaklah dilakukan tanpa berlengah.

“Rabies boleh membunuh, namun boleh dicegah melalui rawatan Post-Exposure Prophylaxis (PEP) segera selepas kejadian gigitan haiwan yang berisiko.

“Kerjasama semua pihak amat diperlukan dalam memainkan peranan masing-masing bagi memastikan langkah pencegahan dan kawalan rabies dilaksanakan dengan berkesan demi keselamatan kesihatan diri dan keluarga tersayang,” kata kenyataan itu.