Jaguh muaythai negara Jojo jumpa PM Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa sesi pertemuan bersama Johan Ghazali. [Gambar FB Datuk Seri Anwar Ibrahim]

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat atlet Muay Thai muda sensasi negara, Johan Ghazali, atau lebih dikenali sebagai Jojo yang berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Dalam hantaran di Facebook rasminya, Anwar menyifatkan Jojo sebagai simbol keazaman, disiplin dan semangat juang tinggi yang mencerminkan nilai sebenar anak muda Malaysia.

“Keazaman, disiplin dan semangat juang yang ditunjukkan oleh saudara Jojo mencerminkan nilai sebenar seorang anak muda Malaysia yang tidak mudah mengalah dalam mengejar impian,” katanya.

Perdana Menteri turut menzahirkan rasa bangga terhadap penglibatan Jojo dalam kempen kesedaran membanteras budaya buli, di samping usaha beliau menyuntik inspirasi kepada golongan muda untuk membina keyakinan diri dan semangat positif dalam kehidupan seharian.

“Saya yakin dengan semangat dan dukungan berterusan, lebih ramai atlet muda akan lahir untuk mengharumkan nama negara di persada dunia,” katanya.

Beliau turut memetik kata-kata mantan Presiden Amerika Syarikat, John F. Kennedy: “Ask not what your country can do for you, but ask what you can do for your country”, sebagai pengingat kepada rakyat Malaysia agar terus menanam semangat kecintaan terhadap tanah air.

Anwar menutup kenyataannya dengan ucapan tahniah kepada Jojo atas kejayaan dan dedikasi luar biasanya.

“Tahniah Jojo atas kejayaan dan komitmen terhadap negara dan masyarakat. Teruskan usaha gigih saudara yang menyinar serta meniup inspirasi kepada generasi muda yang cinta serta mahu menyumbang pada negara,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *