Janji untung lumayan bawa padah, wanita umur 35 tahun rugi RM91,000

Gambar hanya untuk tujuan hiasan.

Seorang wanita tempatan berusia 35 tahun di Kuching kerugian RM91,000 selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan tidak wujud yang dipromosikan menerusi aplikasi Telegram.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Anak Chabu berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching menerima laporan berhubung kes penipuan pelaburan atas talian itu.

Menurutnya, pada 11 Januari lalu, mangsa ditawarkan satu pelaburan dikenali sebagai pelaburan MGM oleh individu tidak dikenali yang menjanjikan keuntungan lumayan.

“Mangsa yang berminat dengan tawaran itu kemudiannya diarahkan membuat pindahan wang ke akaun diberikan sebelum melakukan lima transaksi pembayaran ke dalam lima akaun bank berbeza.

“Jumlah keseluruhan wang yang dipindahkan adalah RM91,000,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, mangsa menyedari ditipu selepas gagal mengeluarkan wang pelaburan berkenaan termasuk keuntungan yang dijanjikan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa menyemak senarai entiti berlesen di laman web Suruhanjaya Sekuriti Malaysia serta tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan di media sosial yang menjanjikan keuntungan lumayan.

Orang ramai yang menyedari menjadi mangsa penipuan diminta membuat laporan segera melalui talian Hotline National Scam Response Centre (NSRC) di nombor 997 dalam tempoh 24 jam, selain melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak.