Kadar jenayah di Sarawak menurun sebanyak 10 peratus bagi tempoh Januari hingga September tahun ini berbanding tempoh sama pada 2024, menunjukkan keberkesanan usaha pencegahan dan siasatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) negeri ini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Haji Abdullah, berkata sebanyak 3,558 kes direkodkan bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini berbanding 3,965 kes pada tahun lalu iaitu penurunan sebanyak 407 kes atau 10 peratus.
Beliau berkata, kadar penyelesaian kes turut meningkat ketara, sekali gus mencerminkan kecekapan pasukan dalam mengekang kegiatan jenayah di seluruh negeri.
“Kita melihat tren penurunan ini sebagai hasil tindakan bersepadu serta penglibatan aktif komuniti dalam membantu pihak polis menyalurkan maklumat,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, Kuching pada Jumaat.
Bagi jenayah kekerasan, sebanyak 463 kes direkodkan berbanding 480 kes pada tempoh sama tahun lalu, iaitu penurunan 4 peratus. Kadar penyelesaian kes bagi kategori ini mencapai 98 peratus.
Namun, dua jenis kes menunjukkan peningkatan, iaitu rogol dan samun tanpa senjata. Kes rogol meningkat daripada 116 kes kepada 123 kes (naik 6%), manakala samun tanpa senjata meningkat daripada 42 kes kepada 48 kes (naik 14%).
Bagi jenayah harta benda, sebanyak 3,095 kes direkodkan berbanding 3,485 kes tahun lalu — penurunan 390 kes atau 11 peratus dengan kadar penyelesaian 58 peratus.
Walau bagaimanapun, beberapa kategori mencatatkan peningkatan seperti curi motokar yang naik daripada 172 kes kepada 214 kes (24%) dan pecah rumah yang meningkat sedikit daripada 868 kes kepada 874 kes (1%).