Statistik jenayah indeks Daerah Kuching merekodkan penurunan sebanyak 6.9 peratus sepanjang tahun 2025 berbanding tahun sebelumnya, hasil penguatkuasaan dan operasi pencegahan jenayah yang dilaksanakan secara berterusan.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Anak Chabu, berkata sebanyak 917 kes jenayah indeks direkodkan pada 2025 berbanding 985 kes pada 2024, melibatkan pengurangan 68 kes.
Menurutnya, jenayah harta benda turut menunjukkan penurunan ketara apabila 799 kes direkodkan pada 2025 berbanding 887 kes pada tahun sebelumnya, iaitu penurunan sebanyak 9.92 peratus.
“Kecurian motosikal juga mencatatkan penurunan sebanyak 20.25 peratus, iaitu daripada 242 kes pada 2024 kepada 193 kes pada 2025,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan IPD Kuching bagi Januari 2026, hari ini.
Walaupun jenayah indeks keseluruhan menunjukkan penurunan, kes jenayah kekerasan di Daerah Kuching mencatatkan peningkatan sepanjang tahun 2025.
ACP Alexson berkata, sebanyak 118 kes jenayah kekerasan direkodkan pada 2025 berbanding 98 kes pada 2024, melibatkan peningkatan 20 kes atau 20.41 peratus.
