Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) kekal komited memastikan akses pendidikan yang saksama kepada setiap murid di seluruh negeri sepanjang sesi akademik 2026, selain terus merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar.
Pengarah Pendidikan Sarawak, Encik Omar bin Haji Mahli berkata, komitmen itu selari dengan tagline Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu “Pendidikan Berkualiti, Insan Terdidik, Negara Sejahtera” yang terus diperkasakan di negeri ini. 
“Fokus utama kita adalah untuk merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar, serta memastikan akses pendidikan yang saksama bagi setiap anak Sarawak,” katanya ketika berucap sempena Program 1st Day at School Sesi Persekolahan 2026 di SMK Petra Jaya, di Kuching pada Isnin (12 Jan 2026).
Beliau berkata, JPNS turut menyokong penuh inisiatif Kerajaan Negeri Sarawak dalam memartabatkan penguasaan Bahasa Inggeris menerusi pelaksanaan Dual Language Programme (DLP) Sarawak, selain pengukuhan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Kita menyokong penuh inisiatif Kerajaan Negeri dalam memartabatkan penguasaan Bahasa Inggeris melalui program DLP Sarawak serta pengukuhan pendidikan STEM bagi menyediakan modal insan yang kompeten untuk masa depan Sarawak,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata KPM telah memaklumkan dua anjakan perubahan kurikulum sebagai tumpuan utama pada tahun 2026, termasuk pelaksanaan awal Kurikulum Pra-Sekolah Kebangsaan 2026 serta pelancaran Pelan Pembangunan Pendidikan 2026–2035.
Menurutnya, semua penambahbaikan struktur kurikulum itu adalah selaras dengan tujuh teras utama KPM dalam menerajui sistem pendidikan negara, termasuk kebajikan guru, pembasmian keciciran pendidikan, menaik taraf sekolah daif serta peningkatan keupayaan pendidikan digital di sekolah.
Beliau turut menegaskan aspek keselamatan dan kesejahteraan warga sekolah terus menjadi keutamaan dengan sokongan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS).
“Kehadiran serta keberadaan PPS PDRM pada bila-bila masa telah memberi impak penurunan kes disiplin di sekolah, sekali gus memberi keyakinan dan ruang kepercayaan yang tinggi dalam kalangan ibu bapa,” katanya.
Menyentuh Bantuan Awal Persekolahan (BAP), beliau berkata bantuan itu sedang diberikan kepada semua murid tanpa mengira latar belakang keluarga dan perlu digunakan sepenuhnya untuk tujuan pendidikan.
“Gunakanlah sebaiknya bantuan tunai tersebut untuk tujuan pendidikan kerana ia adalah wang amanah yang dihulurkan oleh kerajaan semasa bagi meringankan beban ketua keluarga,” katanya.
Beliau berkata, semua sekolah di Sarawak akan mula mengagihkan BAP bermula hari ini dan proses itu akan diselesaikan dalam tempoh 30 hari, dengan semua pejabat pendidikan daerah diingatkan supaya mematuhi peraturan serta tatacara kewangan yang ditetapkan.
