Kemalangan kendiri di Selangau: Wanita meninggal dunia ketika terima rawatan

Seorang wanita berusia 30 tahun meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan kendiri di Jalan Sekolah Sungai Bawang, Balingian, Selangau, pada kira-kira jam 2.45 petang, 16 November 2025.

Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, siasatan awal mendapati mangsa memandu kereta dari arah Sekolah Kebangsaan Sungai Bawang menuju Sibu sebelum kenderaan itu hilang kawalan lalu terbabas ke tepi jalan dan melanggar sebatang pokok kelapa sawit.

“Mangsa yang memandu seorang diri mengalami kecederaan pada kedua-dua kaki dan dibawa suaminya yang datang ke tempat kejadian ke Klinik Kesihatan Selangau untuk menerima rawatan.

“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia pada jam 4.20 petang oleh pegawai perubatan ketika menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sejurus selepas kejadian, satu lagi kemalangan kendiri membabitkan sebuah pikap turut berlaku di lokasi sama, namun butiran lanjut tidak dinyatakan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Saksi kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Rahmat Jalimin di talian 011-31627137 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.