Kementerian Pendidikan (KPM) berdukacita dengan kejadian tragis yang meragut nyawa seorang pelajar di sebuah sekolah di Selangor pada Selasa (14 Okt).
“Kami rakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa dan warga sekolah yang terkesan atas kejadian ini. Semoga keluarga diberikan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian ini,” kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau memaklumkan sebuah jawatankuasa khas telah ditubuhkan bagi menyiasat semua aspek terkait kes ini secara tuntas, telus dan adil.
“Suspek kes telah ditahan pihak berkuasa. Saya pastikan Kementerian Pendidikan (KPM) memberi kerjasama penuh dalam proses siasatan yang sedang berjalan.
“Kami berikan perhatian penuh kepada aspek kesejahteraan warga sekolah terlibat,” katanya.
Pasukan Kaunselor dan Guru Bimbingan dan Kaunseling telah digerakkan untuk melaksanakan intervensi sokongan psikososial kepada murid, guru dan seluruh warga sekolah.