KETIKA krew Sarawak Edition berkunjung ke rumah Jalani Junaidi di Kampung Kudei Baru, Kuching, baru-baru ini, hujan turun dengan lebat.
Bunyi titisan air dari atap rumah yang bocor jelas kedengaran sebaik sahaja pintu dibuka.
Jalani, 47, tersenyum sambil mempersilakan kami masuk.
“Masuklah. (Atap) rumah saya bocor,” katanya ringkas sambil menunjuk ke arah kerusi di ruang tamu yang sedikit terkena titisan air.
Walaupun keadaan rumahnya serba sederhana, perbualan bersama Jalani segera memperlihatkan satu perkara yang sangat jelas, dia amat menitikberatkan pendidikan dan agama dalam membesarkan anak-anaknya.
Bagi Jalani, pendidikan bukan sekadar tentang sijil atau pekerjaan, tetapi tentang membentuk masa depan yang lebih baik.
“Saya selalu berpesan kepada anak-anak bahawa pelajaran itu penting. Ilmu akan membantu mereka dalam kehidupan,” katanya.
Namun dalam masa yang sama, Jalani menegaskan bahawa asas agama tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan.
“Saya juga selalu ingatkan mereka supaya jangan tinggal solat. Bagi saya, walau setinggi mana kita belajar atau berjaya, tanpa agama kehidupan itu seolah-olah tidak lengkap,” tegasnya.
Menurutnya, didikan agama yang kukuh juga mampu membantu golongan muda mengelakkan diri daripada terjebak dengan perkara tidak berfaedah seperti penyalahgunaan dadah, minum minuman keras serta gejala sosial lain.
Sebelum bekerja sebagai pengawal keselamatan, Jalani pernah melakukan pelbagai pekerjaan bagi menyara keluarga termasuk bekerja sendiri membina rumah, melukis gambar serta mengambil upah menebas rumput.
Di sebalik kesibukan mencari rezeki, dia tetap meluangkan masa untuk terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan di kampungnya.
Jalani merupakan Ahli Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) serta Ahli Jawatankuasa Surau Darul Ehsan di Kampung Kudei Baru.
Rumah yang didiaminya bersama keluarga hari ini juga mempunyai nilai sentimental tersendiri.
Menurut Jalani, rumah itu telah didiami keluarganya sejak kira-kira 47 tahun lalu.
Dia mempunyai tiga orang anak perempuan. Dua anak sulungnya yang masing-masing berumur 22 dan 20 tahun kini sudah bekerja, manakala anak bongsunya yang berusia 12 tahun masih bersekolah rendah.
Isterinya juga bekerja bagi membantu keluarga.
Jalani turut menerima bantuan kerajaan melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS).
Selain itu, beliau juga antara penerima sumbangan bakul makanan yang disampaikan pada Majlis Memacu Kehidupan Hari Raya Aidilfitri dianjurkan oleh Yayasan Petronas di Masjid Ikhwanul Islam, Taman Sukma, Kuching pada 7 Mac 2026.
Melalui program tersebut, Petronas menyampaikan sumbangan kepada golongan memerlukan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan syarikat itu dalam menyantuni komuniti setempat, khususnya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Bagi Jalani, sumbangan bakul makanan yang diterimanya sedikit sebanyak membantu meringankan beban perbelanjaan harian keluarganya, terutama bagi menampung keperluan dapur.
“Bantuan seperti ini sangat membantu kami sekeluarga, terutamanya untuk keperluan dapur,” katanya ringkas.
Pada masa sama, beliau turut menghargai keprihatinan pelbagai pihak termasuk syarikat korporat yang tampil membantu masyarakat yang memerlukan.
Dalam kesederhanaan hidupnya, Jalani tetap menyimpan satu harapan yang sama seperti kebanyakan ibu bapa lain, melihat anak-anaknya membesar menjadi insan yang berilmu, berakhlak dan mampu menjalani kehidupan yang lebih baik.
