Lebih 14,000 peserta akan menyertai Kuching Marathon 2025, menjadikannya acara larian terbesar di Sarawak yang kini memasuki tahun ke-10 penganjuran.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, peserta yang telah mendaftar boleh mengambil nombor penyertaan serta pek perlumbaan (‘race pack’) sehingga Sabtu (20 Sept).
“Saya juga berharap agar Kuching Marathon ini terus berkembang lebih besar dari tahun ke tahun, mungkin suatu hari nanti jumlah penyertaan mampu mencecah sehingga 20,000 atau 30,000 orang peserta,” katanya dipetik menerusi laporan UKAS.

Terdahulu beliau meluangkan masa untuk meninjau proses pengagihan ‘race pack’ Kuching Marathon 2025 yang berlangsung di Plaza Merdeka, Kuching pada Rabu (17 Sept).
Beliau berkata sambutan menggalakkan terhadap acara itu menunjukkan minat tinggi masyarakat terhadap aktiviti sukan lasak, sekali gus menjadikan Kuching sebagai destinasi penting bagi acara larian bertaraf antarabangsa.
Pelepasan peserta pada 21 September ini akan diadakan di Padang Merdeka dengan kategori 42 kilometer bermula jam 1 pagi, 21 kilometer (3 pagi), 10 kilometer (5 pagi) dan 5 kilometer (6.30 pagi).
Sarawak Edition difahamkan peserta antarabangsa dari Brunei, Kanada, China, Ghana, Hong Kong, India, Indonesia, Jepun, Korea, Maldives, Belanda, Filipina, Singapura, Afrika Selatan, Kenya, Thailand, United Kingdom dan Vietnam turut serta dalam acara larian itu.
Kuching Marathon yang mula diperkenalkan pada 2014 kini menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan bukan sahaja oleh pelari tempatan malah pelari antarabangsa, sekali gus memberi impak positif kepada sektor pelancongan dan ekonomi negeri.