Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan pendapatan pelaburan RM63.99 bilion bagi Januari hingga September 2025, meningkat 11 peratus berbanding tahun 2024.
KWSP dalam kenyataan pada Isnin (17 Nov) memaklumkan, untuk suku ketiga 2025, KWSP menjana RM25.07 bilion, naik 27 peratus berbanding RM19.67 bilion pada tempoh sama 2024.
Dalam kenyataan itu, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn, berkata pertumbuhan itu disokong strategi peruntukan aset yang membolehkan KWSP memanfaatkan pemulihan pasaran ekuiti selepas ‘Liberation Day’.
Beliau berkata ekonomi Malaysia yang kukuh menyokong 61 peratus portfolio KWSP, manakala pelaburan global menyumbang 53 peratus pendapatan pelaburan suku ini.
Namun, KWSP kekal berhati-hati memasuki suku keempat susulan penilaian pasaran global yang tinggi serta petunjuk ekonomi bercampur.
Ekuiti menyumbang RM16.95 bilion atau 68 peratus pendapatan KWSP pada Q3 2025.
Pendapatan Tetap menjana RM6.75 bilion (27 peratus), Hartanah dan Infrastruktur RM1.14 bilion (4 peratus) dan Instrumen Pasaran Wang RM0.23 bilion (1 peratus).
Daripada jumlah itu, RM20.48 bilion diagihkan kepada Simpanan Konvensional dan RM4.59 bilion kepada Simpanan Shariah.
Jumlah aset pelaburan KWSP kini mencecah RM1.37 trilion, meningkat 12 peratus tahun ke tahun. Pelaburan antarabangsa membentuk 39 peratus daripada keseluruhan aset.
Sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini, KWSP mendaftar 427,329 ahli baharu, menjadikan jumlah keahlian melebihi 16.5 juta.
Ahli aktif kekal stabil pada 9.07 juta atau 51.7 peratus daripada tenaga buruh negara.
Pendaftaran majikan baharu meningkat kepada 62,401, dengan jumlah majikan aktif kini 628,321.
Caruman keseluruhan meningkat 10.5 peratus kepada RM27.84 bilion pada Q3 2025.
Caruman sukarela turut melonjak 47.5 peratus kepada RM15.30 bilion, dengan 231,034 ahli mencarum lebih daripada kadar statutori melalui i-Topup.
KWSP turut menangani peralihan pelaksanaan caruman wajib bagi pekerja bukan warganegara mulai Oktober 2025, dan komited memastikan pematuhan penuh melalui bimbingan serta sokongan berterusan.