Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) meraih dua Anugerah Pengiktirafan Khas pada MyPLACE Awards 2025 anjuran Malaysian Institute of Planners MIP), sekali gus mengiktiraf usaha berterusan pihak berkuasa tempatan itu dalam pembangunan ruang awam yang mampan, inklusif dan mesra komuniti.
Daripada tiga projek yang dihantar untuk penilaian, MBKS berjaya membawa pulang dua Anugerah Pengiktirafan Khas iaitu Projek Rejuvenasi Taman Kenyalang bagi kategori Taman Komuniti dan Kejiranan (Subkategori 3A: Taman Awam) serta Projek Taman Kuching bagi kategori Taman Bandar (Subkategori 2A: bawah 50 hektar).
Penyampaian anugerah itu berlangsung di Petaling Jaya pada Jumaat (12 Sept 2025).

Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata kejayaan itu membuktikan komitmen MBKS untuk terus memperkasa inisiatif hijau sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 11 iaitu Bandar dan Komuniti Mampan serta SDG 13 mengenai Tindakan Iklim.
“Pengiktirafan ini adalah hasil kerja keras Bahagian Landskap, Bahagian Bangunan, Bahagian Kejuruteraan dan sokongan padu daripada komuniti. Taman dan kebun merupakan paru-paru bandar kita dan melalui perancangan teliti, ia berjaya diubah menjadi hab komuniti yang menghubungkan orang ramai,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pengguna taman yang sentiasa memainkan peranan aktif menjaga kebersihan dan kelestarian kawasan rekreasi itu.
“Bersama komuniti, kita memastikan ruang hijau ini kekal indah, selamat dan boleh dinikmati oleh semua lapisan masyarakat,” jelasnya.