Nanta cadang lantik sukarelawan bersih Lebuhraya Pan Borneo sebagai Duta MYJalan

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memuji inisiatif sukarelawan diketuai Tracey E. Hughes yang melancarkan gerakan membersihkan Lebuhraya Pan Borneo menerusi media sosial baru-baru ini.

Beliau berkata, usaha itu mencerminkan semangat cintakan kebersihan serta kesedaran sivik tinggi dalam kalangan rakyat terhadap kepentingan menjaga kemudahan awam.

“Saya menyokong penuh dan mengalu-alukan usaha seperti ini kerana ia menyebarkan mesej positif kepada masyarakat dan membuka mata orang ramai supaya bersama-sama menjaga kebersihan serta keselamatan jalan raya,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Nanta berkata, tindakan sukarelawan itu turut menunjukkan penghargaan terhadap usaha kerajaan yang telah memperuntukkan perbelanjaan besar bagi menyediakan jaringan jalan raya yang selesa dan selamat untuk rakyat.

“Melihat tahap kesedaran awam yang semakin meningkat, ditambah dengan gerakan yang digerakkan oleh saudari Tracey dan rakan-rakan, kami di Kementerian Kerja Raya (KKR) berasa lebih bersemangat untuk terus memperkukuh kempen kesedaran kebersihan jalan raya,” katanya.

Beliau turut menyatakan hasrat untuk bertemu kumpulan terbabit bagi meneroka ruang kerjasama dalam memperhebatkan lagi kempen kesedaran kebersihan jalan raya di Sarawak.

“Malah, saya melihat potensi untuk mengangkat mereka sebagai Duta MYJalan di Sarawak bagi memperluas kesedaran mengenai kepentingan menjaga kebersihan dan keselamatan jalan raya,” katanya.

Tambah beliau, inisiatif rakyat seperti itu sejajar dengan kempen ‘Jum Jaga Pan Borneo Bait-Bait’ yang dilancarkan kementeriannya pada Ogos lalu, sekali gus memperkukuh mesej bahawa jalan raya bukan hanya tanggungjawab kerajaan, tetapi juga amanah bersama rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *