Penunggang motosikal maut kemalangan di Jalan Tanjung Bako

Seorang lelaki berusia lingkungan 50-an maut selepas motosikal ditungganginya terbabas lalu melanggar sebuah lori tanah yang berhenti di selekoh Jalan Tanjung Bako, Kampung Muhibbah, Kuching pada Sabtu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu, kemalangan berlaku sekitar jam 2.30 petang ketika mangsa yang menunggang motosikal dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan menghentam bahagian kanan lori tanah yang sedang berhenti bagi kerja pembuangan tanah.

“Penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan Unit Kecemasan Hospital Umum Sarawak pada jam lebih kurang 3.45 petang,” katanya dalam kenyataan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis meminta saksi atau individu yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Insp. Charlie Aloysius, di talian 014-8682068, 082-259900 (BSPTD Kuching), atau mana-mana balai polis berhampiran.