Persiapan menjelang Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa sempena Sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-79 TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Padang Merdeka pada Sabtu ini kini berada pada tahap akhir dan berjalan lancar.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata semua kontinjen dan agensi terlibat telah menunjukkan komitmen tinggi sepanjang sesi latihan serta raptai penuh yang dijalankan.“Setakat ini, persiapan berjalan dengan baik.
Hari ini merupakan raptai ketiga atau terakhir sebelum sambutan rasmi pada 11 Oktober nanti. Semuanya sudah siap sedia, kini kita hanya menunggu hari sebenar,” katanya selepas meninjau sesi raptai di Padang Merdeka pada Khamis.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua jawatankuasa dan bahagian yang terlibat, termasuk pasukan protokol serta jawatankuasa kecil yang telah bekerjasama memastikan setiap aspek persiapan berjalan lancar.
Sambutan Perayaan Hari Lahir Yang di-Pertua Negeri Sarawak merupakan acara tahunan yang melambangkan perpaduan serta penghargaan rakyat terhadap kepimpinan tertinggi negeri.
Antara acara utama sambutan tahun ini ialah Majlis Kesyukuran di Masjid Jamek Negeri Sarawak pada 9 Oktober, Majlis Kesyukuran Pelbagai Agama anjuran UNIFOR pada 10 Oktober di Hotel Imperial, serta Majlis Santapan Negeri di Dewan Santapan Negeri pada 11 Oktober.
Acara akan diteruskan dengan Majlis Makan Malam dan Minum Teh bersama Yang di-Pertua Negeri pada 12 Oktober, diikuti Konsert Rakyat yang menampilkan artis tempatan dan nasional sebagai penutup sambutan.