Pesara di Kuching rugi RM1.2 juta terpedaya skim pelaburan kripto tidak wujud

Satu laporan polis kes tipu pelaburan tidak wujud dalam talian telah dibuat oleh mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 70-an yang merupakan pesara syarikat swasta di Kuching.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Haji Abdullah berkata pada pertengahan Mac 2025, mangsa tertarik dengan satu iklan pelaburan di media sosial.

“Selepas menghubungi suspek, mangsa dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp (A-3) AI Intelligence Future Forum oleh pembantu suspek.

“Mangsa kemudian ditawarkan satu pelaburan kripto melalui laman web Bacxn Exchange menggunakan pautan www.bacxn.com,” katanya dalam kenyataan pada Selasa (4 Nov).

Dalam kejadian ini, mangsa telah terpedaya dan membuat beberapa transaksi wang secara berperingkat ke dalam akaun bank yang diberikan oleh suspek berjumlah kira-kira RM1.2 juta.

“Mangsa hanya menyedari ditipu apabila gagal mengeluarkan keuntungan yang terpapar dalam akaun pelaburan Bacxn Exchange. Sehingga laporan polis dibuat, mangsa masih belum menerima sebarang keuntungan seperti dijanjikan,” katanya.

Dalam kenyataan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya dengan tawaran pelaburan di media sosial dan supaya membuat penelitian terlebih dahulu sebelum melabur.

Orang ramai turut disarankan membuat semakan senarai syarikat dan laman sesawang yang tidak diberi kebenaran atau kelulusan di www.bnm.gov.my atau menghubungi BNMTELELINK 1-300-88-5465 (Bank Negara Malaysia) dan www.sc.com.my (03-6204 8999, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia).

Bagi mangsa jenayah siber seperti phone scam, love scam, e-dagang dan pinjaman tidak wujud, jika anda baru sahaja membuat transaksi ke akaun bank atau e-wallet suspek, segera hubungi National Scam Response Center (NSRC) di talian 997.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah komersil boleh menyalurkannya dengan menghubungi Hotline JSJK Sarawak di 011-6289 0089 (beroperasi 24 jam).

Selain itu, PDRM menyarankan agar orang ramai memuat turun aplikasi Whoscall melalui Google Play Store atau Apple Store bagi membantu mengenal pasti panggilan telefon mencurigakan.

Kerjasama antara JSJK PDRM dan pembangun aplikasi tersebut membolehkan nombor telefon yang disenaraikan dalam pangkalan data Sistem Semak Mule JSJK ditandakan sebagai scammer dalam aplikasi Whoscall.

Semakan terhadap individu atau syarikat pelaburan juga boleh dibuat melalui aplikasi Investment Checkers atau laman web https://www.sc.com.my/investment-checker.

Sementara itu, semakan nombor telefon dan akaun bank suspek boleh dibuat melalui aplikasi Check Scammers CCID atau portal rasmi http://semakmule.rmp.gov.my sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.

Orang ramai disarankan mengikuti akaun rasmi media sosial Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK PDRM) dan @CyberCrimeAlertRMP di Facebook, Instagram dan TikTok bagi mendapatkan maklumat serta modus operandi terkini penipuan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *