PETRONAS sasar 4,850 keluarga terima bantuan Aidilfitri

Datuk Ir Bacho Pilong bersama Datuk Amar Fadillah Yusof, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Pegawai Daerah Kuching En. Zaidi Sarkawi di majlis tersebut.

KUCHING, 7 Mac — PETRONAS melalui Yayasan PETRONAS menyasarkan untuk membawa keceriaan kepada 4,850 keluarga yang memerlukan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini menerusi inisiatif Memacu Kehidupan Perayaan.

Naib Presiden Kanan Malaysia Petroleum Management PETRONAS, Datuk Ir Bacho Pilong, berkata bantuan itu disalurkan dalam bentuk pek Aidilfitri yang mengandungi barangan keperluan asas serta biskut perayaan kepada keluarga yang dikenal pasti dengan kerjasama Pejabat Residen dan Pejabat Daerah Kuching.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis PETRONAS Memacu Kehidupan Aidilfitri 2026 di Masjid Ikhwanul Islam Taman Sukma di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof menyampaikan Bakul Makanan kepada 350 penerima dari kawasan Parlimen Petra Jaya.

Datuk Ir Bacho berkata, majlis iftar pada hari ini bukanlah sekadar pertemuan berbuka puasa bersama.

“Tetapi ia adalah untuk mengeratkan silaturahim, memperkukuh ukhuwah dan memupuk semangat kerjasama antara PETRONAS dengan masyarakat setempat,” katanya.

Menurut beliau, inisiatif berkenaan selari dengan aspirasi Sejahtera MADANI dalam menyokong kesejahteraan komuniti serta pertumbuhan ekonomi setempat.

Dalam pada itu, beliau berkata komitmen PETRONAS menyantuni komuniti di Sarawak dilaksanakan sepanjang tahun melalui pelbagai program kebajikan, termasuk bantuan kepada 250 keluarga B40 di Lundu, 200 keluarga di Batu Niah dan Bekenu, serta 30 keluarga di Bintulu melalui program Semarak Kasih Ramadan.

Katanya, pelaksanaan program berkenaan turut didorong kerjasama antara PETRONAS, Pejabat Residen dan Pejabat Daerah Kuching, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Petra Jaya serta komuniti setempat bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan yang memerlukan.