Sepanjang pelaksanaan Op Taring Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA) bermula 1 Januari hingga 13 Oktober 2025, pasukan itu mencatat nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM377.7 juta membabitkan 484 kes, 575 tangkapan (446 warga tempatan dan 129 warga asing) serta 306 kenderaan pelbagai jenis yang dirampas.
Menurut Komander Briged Sarawak PGA, Senior Asisten Komisioner, Lim Bak Phai, kejayaan itu hasil pelaksanaan berterusan tiga operasi utama iaitu Op Taring Alpha, Op Taring Bravo dan Op Taring Batas/Awas yang digerakkan di seluruh negeri bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.
“Bagi tempoh 27 September hingga 13 Oktober 2025, PGA Briged Sarawak merekodkan 27 siri kejayaan dengan nilai rampasan berjumlah RM15.6 juta,” katanya dalam kenyataan pada Selasa (14 Okt 2025).

Beliau berkata, operasi dijalankan oleh elemen Cawangan Risik dan Infantri daripada Batalion 10 (Sibu), Batalion 11 (Kuching), Batalion 12 (Miri) dan Batalion 23 (Sri Aman) dengan tumpuan terhadap aktiviti penyeludupan rokok, minuman keras, barangan kawalan, produk sejuk beku, kayu bergergaji serta pengedaran wang palsu.

Katanya, kejayaan tersebut membuktikan kecekapan taktikal pasukan risikan dan keupayaan anggota di lapangan yang bukan sahaja menumpaskan kegiatan penyeludupan, malah menahan individu terlibat serta merampas pelbagai kenderaan digunakan bagi tujuan jenayah.
Semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada agensi penguat kuasa berkaitan untuk tindakan lanjut di bawah pelbagai peruntukan undang-undang termasuk Akta Kastam 1967, Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kawalan Padi dan Beras 1994, Veterinary Public Health Ordinance 1999, Ordinan Perhutanan 2015, Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 489C Kanun Keseksaan.