Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Belanjawan MADANI 2026 bukan sekadar dokumen kewangan tahunan, sebaliknya mencerminkan hala tuju dan keutamaan kerajaan dalam memperkukuh asas pembangunan negara bagi tahun mendatang.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat kepada rakan-rakan media berhubung pembentangan Belanjawan MADANI 2026 di ibu negara, tengah hari tadi.
Menurut Anwar, peranan media amat penting dalam membantu kerajaan menyampaikan naratif reformasi dan agenda perubahan kepada rakyat.
“Saya maklumkan, Belanjawan MADANI 2026 bukan sekadar dokumen kewangan tahunan tetapi ia adalah cerminan keutamaan kerajaan dan hala tuju negara bagi tahun mendatang.
“Justeru, media memainkan peranan penting dalam menyampaikan naratif reformasi dan agenda perubahan negara kepada rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa perincian lanjut mengenai Belanjawan MADANI Keempat akan dibentangkan pada Jumaat ini, dengan tumpuan kepada usaha membela rakyat, memperkukuh ekonomi serta memperteguh asas negara yang mampan dan inklusif.
Belanjawan MADANI 2026 merupakan pembentangan bajet keempat di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan, yang dijangka memberi tumpuan kepada pengukuhan fiskal, reformasi struktur dan langkah menyokong kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.