Razi Suhaimi rangkul gelaran Raja Tenggiri Mukah 2025, tangkapan 11.41kg

Pemancing tempatan, Razi Suhaimi, muncul juara Pertandingan Memancing Raja Tenggiri Mukah 2025 selepas menaikkan tangkapan seberat 11.41 kilogram di perairan Kuala Mukah.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), kejayaan itu melayakkan beliau membawa pulang RM4,000, sebuah piala serta set joran dan peralatan memancing. Razi turut menerima ganjaran tambahan RM2,000 selepas catatan beratnya melepasi kategori Double Digit.

Naib juara disandang Frederick Gira dengan tangkapan 5.68kg yang membawa pulang RM2,000, manakala tempat ketiga milik Jeffry Ingka (5.66kg) dengan hadiah RM1,500.

Anugerah Tekong Terbaik dimenangi Arni Ajis yang membawa pulang RM500, manakala Pasukan Terbaik pula milik kumpulan Juventius Rudi dengan hadiah RM2,000.

Pertandingan edisi ketiga itu menghimpunkan 73 pemancing dengan 14 buah bot, berlangsung dalam suasana meriah meskipun awal pagi diselubungi hujan renyai, manakala sehari sebelumnya laut bergelora.

Peserta bukan sahaja dari Mukah, malah turut datang dari Miri, Bintulu dan Kuching.