Remaja dari Rh Jingga, Pulau Bruit dikhuatiri dibaham buaya ketika menjala udang

Seorang remaja lelaki dikhuatiri dibaham buaya ketika menjala udang berhampiran Jeti Sungai Kelai, Rumah Panjang Jingga di Pulau Bruit, Daro pada Jumaat (26 Dis).

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Sarawak, dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang itu, mangsa dikenali sebagai Agustine Fernando anak Nyalong, 14, dipercayai disambar reptilia berkenaan ketika berada di kawasan sungai berhampiran penempatan penduduk.

JBPM Sarawak menerima panggilan kecemasan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Daro pada jam 5.45 petang.

Susulan itu, seramai tiga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro digerakkan ke lokasi kejadian dan tiba kira-kira jam 6.10 petang bagi mendapatkan maklumat serta menjalankan operasi mencari bersama pihak polis dan penduduk kampung.

Mangsa masih belum ditemui setakat kenyataan dikeluarkan oleh JPBM Sarawak pada jam 7.50 malam (Jumaat).

Menurut kenyataan JBPM, operasi mencari dan menyelamat ditangguhkan pada jam 6.30 petang dan akan disambung semula pada keesokan hari.

Operasi itu diketuai oleh PBK II Huzainizam bin Najar dengan kekuatan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Hilux.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *