Rugi keseluruhan sekitar RM10.7 juta, 92 kes penipuan pelaburan di Kuching untuk 1 Jan-30 Okt 2025

Imej janaan AI untuk tujuan ilustrasi.

Sebanyak 92 kes penipuan pelaburan tidak wujud direkodkan di bawah kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching sejak 1 Januari hingga 30 Oktober 2025.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Alexson Naga Anak Chabu, kes-kes tersebut membabitkan jumlah keseluruhan kerugian sebanyak RM10,731,235.38.

Beliau berkata, kes terbaharu melibatkan seorang wanita tempatan berusia 46 tahun yang kerugian RM255,834.50 selepas terpedaya dengan sindiket pelaburan dalam talian dikenali sebagai “MML-MAX”.

“Pada 26 Ogos 2025, semasa mangsa berada di rumah, nombor telefon milik mangsa telah dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp atas nama Merrill Lynch & Co Inc TA/TA iaitu sebuah kumpulan pelaburan saham secara atas talian.

“Di dalam kumpulan tersebut, mangsa telah membaca maklum balas daripada ahli yang mendakwa ia adalah satu pelaburan yang memberikan keuntungan cepat. Mangsa kemudian tertarik dan berminat dengan pelaburan itu serta diarahkan untuk memuat turun aplikasi MMLMAX,” katanya.

Dalam kenyataan pada Khamis (30 Okt), Alexson berkata sepanjang pelaburan tersebut, mangsa telah membuat 15 transaksi ke dalam enam akaun bank berbeza.

Mangsa kemudian cuba untuk menebus semula keuntungan yang dipaparkan dalam aplikasi berkenaan tetapi diberikan pelbagai alasan. Mangsa berasa tertipu.

Alexson berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan dengan cara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan, yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap iklan pelaburan di media sosial dan tidak membuat sebarang transaksi kepada pihak ketiga tanpa pengesahan pihak berkuasa.

“Orang awam yang menerima sebarang iklan melalui media sosial seperti ini dinasihatkan agar tidak melayan dan merujuk kepada pihak Polis Diraja Malaysia terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi kepada pihak ketiga.

“Mangsa juga boleh terus menghubungi talian hotline NSRC di talian 997 untuk melaporkan berkaitan penipuan secara atas talian ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *