Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua individu yang masih hilang selepas bot dinaiki mereka karam di perairan Tanjung Payung, Bintulu sejak Khamis lalu, diteruskan pada Ahad (9 Nov) namun belum menemui sebarang petunjuk baharu.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, operasi pada Ahad digerakkan seawal jam 8 pagi dengan penglibatan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu serta bantuan BBP Batu Niah.
Pasukan operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II Rary anak Binjie bersama Komander Operasi PPgB Francis Acheh dan Komander Operasi Kanan TPgB I Christus anak Buson yang juga Ketua Balai Bomba Batu Niah.
Setibanya di lokasi berhampiran rumah api Tanjung Payung sekitar jam 9.30 pagi, pasukan SAR menurunkan bot aluminium bagi melakukan pencarian di kawasan perairan sejauh tiga kilometer dari rumah api berkenaan hingga ke Kuala Suai.

Serentak itu, empat anggota lain turut menjalankan pencarian di sepanjang pesisir pantai Tanjung Payung sejauh kira-kira 1.5 kilometer ke arah Kuala Nyalau dan Kuala Suai.
Operasi diteruskan sehingga jam 4 petang sebelum pasukan berkenaan menamatkan pencarian bagi hari ini tanpa sebarang penemuan.
“Setakat ini, kedua-dua mangsa masih belum dijumpai. Operasi SAR akan disambung esok dengan tumpuan kepada kerja-kerja selaman di lokasi bot karam oleh Pasukan Penyelam PPDA Bintulu bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM),” menurut kenyataan itu.
Mangsa yang masih hilang dikenali sebagai Jender anak Baem, 65 tahun dan Petrus Andrew anak Jender, 33 tahun, kedua-duanya warganegara Malaysia.
Tragedi bot karam itu dilaporkan berlaku pada Khamis lalu (6 Nov) sekitar jam 8.57 pagi di perairan Tanjung Payung, kira-kira tiga kilometer dari daratan utama.
