Usaha kerajaan Sarawak memperkukuh ekonomi digital terus membuahkan hasil apabila inisiatif Sarawak Digital Mall mencatatkan jualan keseluruhan RM11.9 juta sehingga suku kedua tahun 2025, dengan penyertaan lebih 1,000 usahawan tempatan sejak dilancarkan dua tahun lalu.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata pencapaian itu membuktikan potensi besar platform digital dalam memperluas pasaran produk buatan Sarawak ke peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, Sarawak Digital Mall yang digerakkan melalui kerjasama strategik antara MINTRED, Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC)dan TikTok Shop Malaysia sejak 2023, menjadi pemangkin penting dalam usaha mendigitalkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Program ini bermula dengan hanya 105 penjual Sarawak, tetapi berjaya mencapai nilai jualan melebihi RM1 juta.
“Kini, dengan lebih 1,000 peserta dan 350 penjual menerima manfaat daripada TikTok Shop Stimulus Package, nilai jualan keseluruhan meningkat kepada RM11.9 juta,” katanya ketika melancarkan Pertandingan TikTok Shop Live Selling di bawah kempen Sarawak Digital Mall sempena IDECS 2025 di Kuching baru-baru ini (23 Okt).
Beliau turut berkongsi kejayaan usahawan tempatan seperti syarikat Cosfumedari Miri yang mencatat jualan bulanan sehingga RM540,000, sekali gus menjadi contoh keberkesanan platform e-dagang dalam melonjakkan jenama tempatan.

Awang Tengah berkata, pertumbuhan kukuh itu sejajar dengan perkembangan sektor e-dagang Sarawak yang meningkat 72.2 peratus, daripada RM22.7 bilion pada 2015 kepada RM39.1 bilion pada 2022.
“Pendapatan e-dagang PKS juga meningkat secara purata 8.1 peratus setahun, mencecah RM10.7 bilion pada 2022. Ini jelas menunjukkan perdagangan digital kini menjadi komponen penting dalam ekonomi Sarawak,” katanya.
Beliau menambah, di bawah Pelan Induk Ekonomi Digital Sarawak 2030, kerajaan menyasarkan 80 peratus PKS didigitalkan menjelang 2030 bagi membuka akses inovasi dan pasaran global.
Selain itu, MINTRED turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan untuk mempercepatkan pendigitalan usahawan tempatan.
Melalui Program Go Digital, PKS layak menerima geran sehingga RM10,000bagi pembelian perisian, perkakasan dan perkhidmatan digital.
Program lain termasuk GERAK dan USTEV yang menawarkan geran sehingga RM20,000 kepada graduan serta lepasan institusi teknikal, manakala skim pinjaman mikro seperti SPIKS dan Sarawak Micro Credit Scheme (SKMS)memberi kemudahan kewangan bagi mengembangkan perniagaan.
“Kerajaan Sarawak akan terus menyokong inisiatif yang mendorong pendigitalan, memperkukuh daya saing industri dan membuka lebih banyak peluang kepada rakyat,” katanya.
Beliau turut menggesa peserta pertandingan TikTok Shop Live Selling agar memanfaatkan peluang tersebut untuk mempamerkan kreativiti dan membawa produk tempatan ke pasaran antarabangsa, seiring visi menjadikan Sarawak sebagai hab perdagangan digital serantau.