Tahukah anda, Santubong merupakan tapak penyelidikan arkeologi pertama di Sarawak, yang mula dikaji pada tahun 1947 oleh Tom Harrisson, Kurator Muzium Sarawak pada ketika itu — iaitu sebelum kajian di Gua Niah pada tahun 1954.
Pembukaan Santubong Archaeological Park dan Wallace Centre menandakan satu lagi usaha Kerajaan Sarawak untuk menjadikan Santubong sebagai tarikan warisan utama negeri.
Projek bernilai lebih RM36.6 juta ini bermula pada 5 September 2019 dan siap sepenuhnya sebelum dirasmikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 4 Oktober 2025.

Inisiatif ini sebenarnya lahir daripada cetusan idea Premier Sarawak sendiri pada tahun 2016 ketika beliau menerajui Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak.
Kompleks ini menempatkan tiga galeri utama, iaitu:
1️⃣ Tapak Arkeologi dan Galeri Sungai Jaong
2️⃣ Tapak Arkeologi dan Galeri Bongkissam dan Bukit Maras
3️⃣ Wallace Centre di Kampung Santubong
Kawasan Santubong ini penting kerana menempatkan penemuan arkeologi yang membuktikan kewujudan industri besi, perdagangan maritim dan amalan keagamaan awal.

Antara penemuan berharga termasuk:
- Ukiran batu berbentuk antropomorfik (petroglyph) di Sungai Jaong;
- Artifak arkeologi dari abad ke-9 hingga ke-14;
- Figura emas, manik, arca kecil dan seramik dari Dinasti Sung, Yuan, Tang dan Qing yang menunjukkan hubungan perdagangan dan pengaruh Hindu-Buddha.
Selain itu, Wallace Centre pula menampilkan kisah Alfred Russel Wallace dan pembantunya Ali, anak Sarawak, yang memainkan peranan penting dalam sejarah sains dunia.

Pembukaan taman dan pusat ini dijangka menjadi mercu tanda baharu pelancongan Sarawak, sekaligus memberikan manfaat sosioekonomi kepada komuniti setempat serta menyokong aspirasi negeri untuk menjadi destinasi utama eko-pelancongan dan acara perniagaan di ASEAN menjelang 2030.
[Sumber: Ucapan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah]