Tiga pekerja warga asing masih hilang selepas perahu dinaiki 10 pekerja projek pembinaan jambatan di Sungai Krian, Kampung Kaba, karam petang Jumaat.
Tiga mangsa yang masih hilang dikenal pasti sebagai Karyono, Gunawan Pawadi dan Dudianto Yapani, yang kesemuanya warga Indonesia.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata dalam kejadian kira-kira jam 6.22 petang itu, enam pekerja berjaya menyelamatkan diri manakala seorang mangsa, juragan bot dikenali sebagai Mohammad Asfar Sulaiman, 27, ditemui meninggal dunia pagi tadi.
Beliau berkata, mayat mangsa ditemui orang awam terapung berhampiran jeti pada jam 9.37 pagi, kira-kira 50 meter dari pos kawalan operasi.
“Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Saratok untuk bedah siasat. Usaha mencari tiga lagi mangsa diteruskan pasukan penyelamat,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (Op SAR) disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan penggunaan tiga bot yang membuat pencarian dalam radius lima kilometer dari lokasi kejadian.
Difahamkan, kesemua mangsa dalam perjalanan pulang dari Pusa sebelum perahu karam kira-kira 150 meter dari Jambatan Kaba.