TM hargai kejayaan polis Padawan tumpas sindiket curi kabel

Seramai 21 pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan menerima sijil penghargaan daripada Telekom Malaysia (TM) atas kejayaan menumpaskan sindiket mencuri kabel yang aktif di daerah Padawan baru-baru ini.

Majlis penyerahan sijil tersebut berlangsung di IPD Padawan hari ini, disempurnakan oleh wakil TM sebagai tanda penghargaan terhadap kerjasama dan kejayaan pasukan polis dalam membanteras jenayah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Mohd Irwan Hafiz Radzi berkata, pengiktirafan itu amat bermakna kepada pasukan operasi yang terlibat dan menjadi dorongan untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi, khususnya dalam menangani kes kecurian kabel.

“Kerjasama antara PDRM dan TM amat penting bagi memastikan keselamatan aset komunikasi negara sentiasa terpelihara serta mengelak gangguan perkhidmatan kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat (24 Okt).

Beliau berkata, dalam operasi yang dijalankan pada 17 Julai lalu, polis berjaya menahan enam individu serta merampas kenderaan dan pelbagai alatan yang digunakan untuk memotong kabel.

IPD Padawan turut merakamkan penghargaan tulus kepada TM atas keprihatinan, kerjasama dan sokongan berterusan terhadap usaha PDRM mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *