Jaguh muaythai sensasi negara, Johan Ghazali atau lebih dikenali sebagai Jojo, sekali lagi mencuri tumpuan warganet selepas berkongsi detik istimewa pertemuannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya.
Dalam hantaran di Instagram malam Rabu, beliau memuat naik beberapa gambar memperlihatkan dirinya bersama ibu bapanya dengan Perdana Menteri ketika mengadakan kunjungan hormat tersebut.
“Thank you Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim for the invitation. Truly an honour. Two different world. One Vision for Malaysia. I’ll continue to do my best to put Malaysia on the map. Alhamdulillah,” tulis Jojo dalam kapsyen ringkas tetapi penuh makna.
Sehingga artikel ini ditulis (7 pagi, 9 Okt 2025), perkongsian itu menerima lebih 55,000 tanda suka, hampir 1,000 perkongsian, serta ratusan komen yang membanjiri ruangan hantaran tersebut — kebanyakannya menzahirkan rasa bangga.
Antara yang menarik perhatian ialah komen daripada laman peminat bola sepak ultrasmalaya.com.my yang menulis:
“Fuhh gila meremang. Muda tapi dapat jemputan macam ni. Dengan ayahnya banyak lencana di dada”.
Seorang pengguna lain, @inazfinn, menulis ringkas,
“Wow. Level dia tak main-main.”

Rata-rata pengguna media sosial memuji keperibadian rendah diri dan semangat juang tinggi Jojo yang kini menjadi inspirasi generasi muda Malaysia.
Jojo, yang bernaung di bawah ONE Championship, sebelum ini menempa nama sebagai antara atlet termuda menandatangani kontrak profesional di pentas seni bela diri dunia.
Kemenangan demi kemenangan yang diraihnya di pentas antarabangsa bukan sahaja menaikkan martabat sukan muaythai negara, malah menjadikan beliau simbol kebanggaan baharu Malaysia di arena global.