Seorang peniaga berusia 61 tahun di Miri kerugian RM588,000 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan panggilan telefon (phone scam) yang menyamar sebagai pegawai pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, wanita itu menerima panggilan daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai National Scam Response Centre (NSRC) pada 10 September lalu.
“Suspek mendakwa mangsa terbabit dalam sindiket penipuan sebelum panggilan itu disambungkan kononnya kepada pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan,” katanya dalam kenyataan yang dikongsikan di laman FB Polis Daerah Miri bertarikh 11 Sept 2025.
Menurutnya, mangsa dimaklumkan perlu membuat pengesahan harta dengan memindahkan semua wang simpanan ke akaun bank yang diarahkan suspek.
Tertipu dengan helah itu, mangsa membuat beberapa pindahan wang berjumlah kira-kira RM588,000 melalui kaunter bank, kononnya bagi tujuan audit.
Bagaimanapun, mangsa mula sedar dirinya ditipu selepas suspek berterusan meminta bayaran tambahan.
“Mangsa menggunakan wang hasil simpanan sendiri dan menyedari sudah terpedaya selepas berulang kali diminta membuat pembayaran baharu,” jelasnya.
Mohd Farhan berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, dengan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Beliau dalam pada itu menasihatkan masyarakat agar tidak sesekali mendedahkan maklumat peribadi melalui telefon, walaupun pemanggil mendakwa daripada agensi rasmi.
“Sebarang panggilan yang mencurigakan perlu disemak melalui saluran rasmi serta segera dilaporkan kepada pihak berkuasa bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan,” katanya.