Polis menahan seramai 28 individu disyaki terbabit dalam sindiket pusat panggilan perjudian dalam talian hasil dua serbuan berasingan di dua unit pangsapuri di Kuching pada Isnin (22 Dis 2025).
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, serbuan dijalankan kira-kira jam 2 petang hingga 2.12 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching dengan kerjasama Cawangan D7 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak.
Menurutnya, tangkapan membabitkan tiga lelaki tempatan serta 24 lelaki dan seorang wanita warga asing berumur antara 19 hingga 40 tahun.
“Polis turut merampas peralatan komputer, telefon bimbit serta peranti berkaitan yang dipercayai digunakan bagi menjalankan aktiviti perjudian dalam talian,” katanya dalam kenyataan pada Selasa (23 Dis).
Beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan beroperasi sebagai pusat panggilan (calling centre) dan menggunakan aplikasi WhatsApp serta laman sesawang bagi mempromosikan pelbagai bentuk perjudian dalam talian.
Katanya, aktiviti itu menyasarkan pelanggan dari Australia dan China, selain dipercayai telah beroperasi selama kira-kira empat bulan.
Menurut Alexson, kesemua individu yang ditahan dipercayai bekerja sepenuh masa dalam aktiviti perjudian berkenaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana mempromosikan aktiviti perjudian, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun serta denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM50,000 bagi setiap kesalahan, jika sabit kesalahan.
Selain itu, siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit sah serta tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.
Beliau berkata, semua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kuching pada Selasa untuk permohonan reman dan mahkamah membenarkan tahanan reman selama tiga hari.
Dalam pada itu, orang ramai diminta tampil menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah dengan menghubungi Pusat Kawalan IPD Kuching di talian 082-244444.