Seramai 39 penduduk dari Rumah Asun, Tembawai Kapok, Awik dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Taman Seroja selepas kawasan penempatan mereka dinaiki air setinggi tiga kaki, petang ini (Jumaat).
Menurut Ketua Polis Daerah Saratok yang juga Komander Operasi Bencana, DSP Mathew Anak Manggie, PPS berkenaan diaktifkan pada jam 2 petang berikutan hujan lebat berterusan sejak semalam yang menyebabkan beberapa kawasan rendah ditenggelami air.
“Setakat ini, seramai 39 mangsa daripada pelbagai peringkat umur telah dipindahkan ke PPS. Jumlah ini dijangka bertambah dari semasa ke semasa,” katanya dalam laporan pemantauan banjir.
Beliau berkata, kejadian banjir berpunca daripada hujan lebat berterusan lebih 24 jam yang berlaku serentak dengan fenomena air pasang besar, menyebabkan paras air di beberapa kawasan kekal statik antara dua hingga tiga kaki.
Antara lokasi terjejas termasuk Jalan Kabo dan Sekolah Kebangsaan Nanga Atoi. Tiada laporan mengenai kecederaan, kemalangan atau kerosakan harta benda setakat ini.
Operasi pemantauan turut membabitkan 43 anggota daripada pelbagai agensi termasuk PDRM, APM, RELA, JKM, KKM, Bomba dan Pejabat Daerah Saratok.
“Pemantauan banjir dijalankan secara berterusan melibatkan jalan utama, sekolah serta rumah panjang yang dikenal pasti berisiko dinaiki air,” tambah beliau.