Curi lampu solar untuk beli dadah

Sanggup mencuri demi dadah. Itu tindakan seorang lelaki berusia 41 tahun yang ditahan polis selepas disyaki mencuri lampu dan panel solar di sebuah rumah burung walit di Pantai Tanjung Kembang, Kabong, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Anak Maggie berkata, suspek ditahan sehari selepas kejadian oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Saratok.

Menurut beliau, kejadian disedari pengadu berusia 25 tahun apabila melihat suspek, yang dikenalinya, melarikan diri menaiki motosikal berhampiran premisnya kira-kira jam 11.30 malam.

“Bertindak atas laporan dibuat, polis berjaya mengesan dan menahan suspek di kawasan Kabong pada keesokan harinya.

“Susulan itu, polis menemukan semula satu unit lampu solar jenama MASTER 60W bersama panel yang disembunyikan di tepi rumah suspek,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Hasil siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau, selain ujian air kencingnya didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

“Suspek mengaku mencuri barang berkenaan dengan niat menjualnya untuk mendapatkan bekalan dadah bagi kegunaan sendiri,” jelasnya.

Katanya, lampu solar dan panel yang dicuri dianggarkan bernilai RM300.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *