46 individu ditahan dalam Ops Tapis Khas Narkotik di Kuching

Seramai 46 individu ditahan menerusi Ops Tapis Khas Narkotik yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching dari 17 hingga 20 November lalu bagi mengekang aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di sekitar kawasan ini.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Anak Chabu berkata, operasi empat hari itu menyaksikan dua individu ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, dua di bawah Seksyen 39A(1), manakala lima lagi ditahan mengikut Seksyen 12(2) akta sama.

“Selain itu, 37 individu turut ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952. Daripada jumlah tersebut, lima individu juga didakwa di bawah Seksyen 39C kerana kesalahan penggunaan dadah secara berulang,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat (21 Nov).

Menurut beliau, pelbagai jenis dadah berjaya dirampas sepanjang operasi itu, termasuk 1,067.25 gram methamphetamine dan 12 gram pil psikotropik, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM41,145.70.

Semua suspek telah dibawa ke Mahkamah Kuching untuk tindakan pendakwaan mengikut kesalahan masing-masing.

“Kejayaan ini adalah hasil risikan berterusan dan kerjasama orang awam. Polis Diraja Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah.

“Memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti dadah merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang,” katanya.

Menurutnya, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik komited memerangi dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang.

Dadah adalah musuh nombor satu negara.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat melalui Hotline JSJN di 012-208 7222 atau Hotline JSJN IPK Sarawak di 017-592 9211.