700 pegawai dan anggota polis bertugas untuk Kempen Advokasi Keselamatan Jalan Raya sempena Krismas

PDRM Kontinjen Sarawak khususnya Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) mengadakan Program Advokasi Kempen Keselamatan Jalan Raya Menjelang Hari Krismas 2025.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan Ishak, kempen akan berlangsung selama enam hari, bermula 23 Disember dan berakhir pada 28 Disember di semua daerah di bawah Kontinjen Sarawak.

Jelasnya, kempen ini adalah bertujuan untuk:

  1. Menurunkan kadar kemalangan jalan raya di Sarawak di sepanjang tempoh perayaan Hari Krismas 2025.
  2. Menguatkuasakan undang-undang dan peraturan lalulintas.
  3. Mewujudkan rasa selesa dan selamat dalam kalangan pengguna jalan raya dengan meletakkan pegawai dan anggota polis di lokasi terpilih iaitu tempat yang sering berlaku kemalangan jalan raya serta memastikan aliran trafik lancar dan terkawal.

Kempen ini melibatkan semua cawangan dan jabatan dalam PDRM Kontinjen Sarawak dan melibatkan semua daerah di Sarawak.

Sepanjang tempoh kempen, seramai lebih kurang 700 orang pegawai dan anggota polis Kontinjen Sarawak dari pelbagai cawangan dan jabatan terlibat bagi memberikan kesedaran dan pengetahuan kepada orang ramai serta masyarakat setempat terhadap faktor-faktor berkaitan keselamatan dan pematuhan penguatkuasaan undang-undang jalan raya bagi mengurangkan kadar kemalangan.

“Adalah diharap semoga kempen ini akan dapat mencapai matlamat yang disasarkan, iaitu dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di seluruh Sarawak di sepanjang tempoh musim perayaan ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *