Polis Sarawak lupus barang kes dadah bernilai RM1.47 juta

 

Polis Sarawak melupuskan pelbagai jenis dadah dan racun bernilai lebih RM1.47 juta membabitkan 11,004 kes yang telah selesai siasatan serta perbicaraan mahkamah antara 2017 hingga 2024.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Anak Ata berkata pelupusan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak menggunakan kaedah loji rawatan termal (insinerator) di Trienekens Sarawak Sdn Bhd, Kuching Integrated Waste Management Park pada Selasa (23 September).

Ia disaksikan Ketua JSJN Sarawak, ACP Mustafa Kamal Gani Abdullah dengan membabitkan kes daripada 23 daerah di seluruh negeri.

Antara barang kes yang dimusnahkan ialah serbuk ekstasi seberat 5,474.86 gram, syabu (9,739.45 gram), ganja (1,158.32 gram), pil Erimin 5 (1,190.07 gram), pil Nospan (7,445 gram), ketamin (267.70 gram), pil ekstasi (231.01 gram), air ketum (2 liter) serta 7,852 botol urin.

Keseluruhan pelupusan itu dilakukan mengikut peruntukan Seksyen 406A dan 407 Kanun Prosedur Jenayah.

Dato Mancha dalam kenyataan menegaskan JSJN komited memerangi dadah demi melindungi generasi kini dan masa depan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *