Sarawak Regatta kekal simbol perpaduan dan warisan negeri

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa majlis perasmian Sarawak Regatta-Kuching Waterfront Festival 2025.

Sarawak Regatta merupakan acara tahunan yang sangat signifikan di Sarawak dan merupakan sukan air tertua di dunia kerana penganjuran regatta ini mempunyai sejarahnya tersendiri.

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, acara sukan Regatta ini diperkenalkan pada tahun 1872 semasa pemerintahan Rajah Charles Brooke.

“Ia bermatlamat untuk menghentikan konflik perkauman di Sarawak melalui perlumbaan perahu di mana setiap kampung akan menghantar wakil masing-masing untuk bersaing dalam Regatta demi merebut gelaran Raja Sungai,” jelasnya.

Beliau dipetik berkata demikian dalam perutusan buku program Sarawak Regatta-Kuching Waterfront Festival 2025 yang dirasmikan beliau pada Jumaat (24 Okt).

Majlis perasmian itu turut dihadiri, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar; Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian; Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah; dan anak Premier Sarawak, Puan Dayang Norjihan.

Bersesuaian dengan slogan dan tema “Race for Harmony”, temasya Sarawak Regatta berjaya memupuk semangat berpasukan dalam mengejar kejuaraan.

“Ia juga telah berjaya memupuk sikap saling hormat-menghormati serta mengeratkan silaturahim antara satu sama lain tanpa mengira bangsa dan agama,” ujarnya.

Di samping itu juga, aktiviti sukan air sebegini merupakan salah satu aktiviti yang sihat terutamanya untuk anak anak muda di peringkat institut pengajian tinggi yang turut mengambil bahagian di dalam Regatta ini kerana ia dapat mengurangkan kadar gejala sosial yang tidak berfaedah.

Beliau turut menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada penganjur Sarawak Regatta-Kuching Waterfront Festival 2025 terutama sekali kepada Pejabat Residen Bahagian Kuching selaku Jawatankuasa Pengelola kerana telah menggalas tanggungjawab ini dengan cemerlang dalam memastikan penganjuran temasya berprestij ini berjalan dengan lancar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *